KUALA LUMPUR 25 Dis. – Sebanyak 348 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Motosikal Ambang Krismas di tiga lokasi sekitar ibu negara malam tadi.
Operasi bermula pukul 10 malam hingga 12.30 tengah malam itu dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Bangsar, Jalan Pahang dan Jalan Genting Kelang.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, sebanyak 127 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.

Menurutnya, trend itu sekali gus menunjukkan penunggang motosikal menanggung risiko dalam pemanduan mereka serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Selain dua kesalahan itu, ada penunggang disaman kerana motosikal tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkefly memberitahu, susulan operasi itu, satu lagi operasi iaitu Op Mabuk turut dilakukan di sekitar Jalan Davis, Jalan Klang Lama dan Jalan Sultan Ismail bermula pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi.
Ujarnya, lima individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol serta enggan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan.
“Kesemua pemandu itu ditahan selepas gagal ujian saringan awal pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.
“ Tiga daripada lima pemandu ditahan mengikut Seksyen 45a Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan dengan paras alkohol melebihi tahap dibenarkan manakala dua lagi ditahan mengikut Seksyen 45c akta yang sama iaitu keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan,” jelasnya.
Tambah Zulkefly, kesemua mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun itu akan dihadapkan ke mahkmah esok untuk pertuduhan. – UTUSAN ONLINE










