HULU SELANGOR 7 Dis. – Seramai 38 orang kanak-kanak dari sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa di sini dibawa berarak sejauh lebih kurang 300 meter sambil berselawat bagi menghilangkan perasaan takut ketika berkhatan pada program Khatan Jama’i Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) 2018 di sebuah lokasi di Kelab Golf Bukit Beruntung dekat sini semalam.
Malah mereka turut disembur air menggunakan paip bomba bagi memeriahkan lagi suasana pada majlis itu.
Program anjuran MDHS bersama Ahli Majlis Zon 20 dan 21 itu turut disertai pelajar sebuah madrasah di sini.
Majlis perasmian program yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MDHS Awaluddin Zakaria itu turut dihadiri Ahli Majlis Zon 20, Ahmad Zuraimi Abd. Rahman dan Ahli Majlis Zon 21, Khairul Azhari Saut.
Khairul Azhari berkata, penganjuran program antara lain bertujuan memberi peluang kepada keluarga kurang berkemampuan menghantar anak mereka berkhatan.-UTUSAN ONLINE










