28 pilihan Burger O’ Myy - Utusan Malaysia

28 pilihan Burger O’ Myy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGEMAR burger yang tercari-cari kelainan dalam hidangan, boleh berkunjung ke restoran Burger O’ Myy milik anak tempatan di Kota Samarahan, Sarawak yang menyajikan 28 jenis burger ‘homemade’ lazat daripada daging lembu, ayam, kambing dan rusa.

Menurut pemiliknya, Razif Mohd. Yunus, 33, restoran tersebut mula beroperasi pada April tahun lalu dan mendapat sambutan begitu baik sehingga menjadi tular di dalam media sosial.

Katanya, restoran itu bermula hanya dengan empat meja, tetapi selepas empat bulan beroperasi kini mempunyai 46 meja.

“Saya bersama isteri mengambil konsep berniaga sambil beramal yang mana harga ditetapkan berpatutan dengan bahagian yang banyak. Contohnya hanya sekitar RM6, kita boleh mendapat burger bersama air dalam gelas besar.

“Antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah burger fusion yang mengandungi daging lembu, peperoni, daging smoky, telur, sos keju bersama kentang goreng yang dijual dengan harga RM18 sahaja,” katanya.

Selain burger, restoran itu turut menghidangkan masakan barat, pasta dan variasi masakan Melayu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, konsep restorannya yang dihiasi sendiri ala hipster juga bersesuaian dengan semua peringkat umur.

“Tiada televisyen di sini supaya pelanggan dapat menumpukan perhatian kepada makanan sambil dapat lebih banyak berinteraksi antara satu sama lain.

“Alhamdulillah, meskipun restoran ini dibuat di rumah sendiri dan agak tersorok ke dalam, namun pelanggan tetap ada. Dalam sehari sekurang-kurangnya 200 burger dapat dijual,” katanya.

Tambahnya, mereka juga menyediakan khidmat penghantaran (delivery) dalam jarak 10 kilometer dengan caj tambahan sebanyak RM5.

Dalam pada itu, Razif merancang mengembangkan lagi perniagaannya menerusi trak makanan Burger O’Myy.

“Saya harap lebih ramai lagi orang dapat merasai makanan yang kami sediakan di samping mengukuhkan lagi jenama Burger O’Myy.

“Bagi maklumat lanjut atau sebarang promosi, orang ramai boleh melayari laman Facebook kami, Burger.Org.Myy,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN