2 maut kemalangan 4 kenderaan - Utusan Malaysia

2 maut kemalangan 4 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 4 Dis. – Dua maut dalam kemala­ngan yang membabitkan empat kenderaan di Kilometer 255.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Pedas-Linggi dekat Rembau pada pukul 1.54 petang ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam dalam satu kenyataan berkata, Mohd. Azzarnuddien Abdullah, 41, dan Sharifah Hawa Syed Mokhtar, 55, masing-masing daripada kende­raan berasingan maut.

“Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu Mohd. Azzarnuddien dalam perjalanan dari Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori jenis Isuzu yang juga dari arah yang sama.

“Akibat perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan memasuki laluan bertenta­ngan dan merempuh kenderaan lain iaitu Proton Exora dan Mercedes Benz yang dinaiki Sharifah Hawa. Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat manakala yang ce­dera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Anuar Bakri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, kemalangan itu membabitkan keseluruhan 15 mangsa dengan Proton Wira dinaiki lima orang, lori dua orang, Proton Exora (dua) dan Mercedes Benz (enam).

“Daripada jumlah itu, dua maut dan enam cedera manakala yang lain tidak mengalami kece­deraan termasuk seorang kanak-kanak dan seorang bayi.

“Pihak kami yang tiba di lokasi kejadian bersama 17 anggota daripada tiga balai iaitu Rembau, Tampin dan Senawang sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.26 petang, mengambil masa setengah jam mengeluarkan empat mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN