KANGAR 6 Dis. – Seramai 1,989 kanak-kanak di Kedah dan Perlis mungkin tidak sabar-sabar menunggu untuk pembukaan sesi persekolahan tahun depan tidak lama lagi setelah mereka menerima sumbangan pek Kembali ke Sekolah daripada McDonald’s baru-baru ini.
Bagi murid sekolah rendah itu yang datang daripada keluarga miskin bandar, sumbangan berupa beg, kasut dan pakaian sekolah tersebut begitu bermakna buat mereka.
Jelas terpancar senyuman dari raut wajah masing-masing yang hadir bersama ahli keluarga dalam majlis dianjurkan oleh McDonald’s, apatah lagi turut dijamu dengan hidangan oleh restoran terkemuka itu.
Kesemua mereka adalah terdiri daripada seramai 1,250 murid di Kedah manakala 739 orang lagi dari Perlis.
Selain sumbangan pek Kembali ke Sekolah, McDonald’s menerusi program komuniti dan tanggung jawab sosial korporatnya, turut berbesar hati menyampaikan zakat dan pelantikan individu daripada golongan asnaf ke program perantisan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s.
Sumbangan keseluruhan McDonald’s Malaysia bagi Kedah dan Perlis adalah berjumlah lebih RM1.658 juta.
Di Perlis, program tersebut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyertai Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli yang diadakan sebelum program berlangsung.
Lebih manis, program kayuhan itu turut disertai Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar yang dapat merasai sendiri aktiviti rutin baginda menyantuni golongan asnaf di Perlis.
Manakala di Kedah pula, dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh.










