KUALA LUMPUR 28 Dis.- Sebanyak 1,709 pelajar sekolah menengah di 178 kawasan seluruh negara berisiko positif dadah menerusi saringan ujian air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada awal tahun sehingga Oktober lalu.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kesemua pelajar terbabit merupakan lebih 41,000 pelajar yang diperiksa.
Ujarnya, hasil saringan yang dilakukan, kebanyakkan pelajar terbabit didapati positif dadah jenis methaphetamine.
“Ini kerana dadah jenis itu mudah diperolehi dan juga murah.
“Berdasarkan saringan di 178 lokasi bekenaan, pelajar di Sarawak masih merekodkan jumlah tertinggi yang terlibat dalam dalam penyalahgunaan dadah,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat AADK di Jalan Maktab, Kajang dekat sini.
Dalam pada itu, Zulkifli turut memberitahu selain menyasarkan pelajar-pelajar sekolah, saringan secara agresif turut dilakukan terhadap jabatan-jabatan kerajaan dan swasta bagi mengesan mereka yang terlibat dalam penyalah gunaan dadah.
Tanpa mendedahkan jabatan-jabatan yang akan diberi tumpuan, Zulkifli berkata AADK telah pun bermula menjalankan saringan itu.
“Namun, pada tahun hadapan kita akan memperkasakan lagi saringan itu bagi membantu dan membanteras penyalah gunaan dadah di tempat kerja.
“Di jabatan AADK sendiri, kita telah melakukan saringan kepada 2,841 kakitangan di seluruh negara. Hasilnya, daripada jumlah itu, empat kakitangan didapati positif dadah,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE










