TAIPING – Lima jenis haiwan diancam kepupusan berjaya dibiakkan di Zoo Taiping & Night Safari sepanjang tahun ini.
Haiwan tersebut ialah ungka tangan putih, kuda belang, seladang, burung keria mahkota dan burung botak upeh.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd. Rahim Md. Ariff berkata, kejayaan membiakkan kelima-lima jenis haiwan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat berharga dalam memastikan program pembiakan dan konservasi haiwan tersebut dapat diteruskan.
“Zoo Taiping & Night Safari yang dikendalikan MPT sentiasa berusaha mengekalkan kelestarian dan khazanah alam melalui program pembiakan terutamanya spesis haiwan yang terancam.
“Kemampuan membiakkan haiwan ini juga menunjukkan kami sedang menuju ke arah sebuah zoo yang bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Abd. Rahim, Zoo Taiping & Night Safari bukan sahaja akan memastikan penjagaan haiwan secara berterusan dan persekitaran yang menyamai habitat asal mereka, bahkan turut memastikan perkembangan fizikal dan mental haiwan tersebut dirangsang dengan baik.
“Anak kuda belang yang dilahirkan pada Ahad lalu merupakan anak kuda belang pertama dilahirkan di zoo ini dengan berat sekitar 30 kilogram.
“Kelahiran anak ungka tangan putih seberat kira-kira 500 gram pada 22 April lalu selain dua spesis burung iaitu burung keria mahkota dan burung botak upeh pada 13 Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, seekor lagi haiwan yang diancam kepupusan dan berjaya dibiakkan adalah seladang yang dilahirkan pada 19 Oktober lalu.
Katanya, kesemua kelahiran ahli keluarga baharu di zoo tersebut kini terdiri daripada 120 spesis termasuk mamalia, reptilian, ikan dan burung. – K! ONLINE










