Zionis lancar ‘serangan pengecut’ - Utusan Malaysia

Zionis lancar ‘serangan pengecut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA 12 Nov. – Tentera rejim Zionis mem­bunuh sekurang-ku­rang­nya tujuh orang penduduk Palestin dalam satu operasi rahsia semalam, me­nyasarkan seorang komander Hamas dan serangan udara bagi melindungi komando Zionis yang melarikan diri dengan sebuah kenderaan ke Israel.

Pencerobohan Zionis itu menyaksikan insiden berbalas balas serangan kedua-dua pihak, menyaksikan seorang tentera Israel terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam operasi yang bakal menjejaskan usaha damai antara kedua-dua pihak.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu, komando Israel menyusup masuk ke kawasan berhampiran bandar Khan Younis menggunakan sebuah kenderaan awam dan membunuh seorang komander Briged al-Qassam, Nour Baraka.

Operasi darat tentera rejim ke atas Genting Gaza jarang berlaku dan langkah itu bakal mencetuskan ketegangan.

“Kami mendengar komando tentera Israel memasuki Khan Younis dan membunuh Nour Baraka dan seorang lagi komander. Selepas itu, kereta yang membawa komando dan sekutu rejim cuba melarikan diri, namun mereka dikejar Hamas dan Briged al-Qassam yang menyaksikan Israel cuba melindungi kenderaan tersebut dengan tegang Gaza.

“Gaza akan menjadi tempoh yang menegangkan dan tidak tenang,” kata pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad kepada Al-Jazeera.

Menurut saksi, semasa insiden serangan itu, pesawat udara Israel melepaskan lebih 40 peluru berpandu dekat lokasi serangan dan mengorbankan empat orang.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum mengecam serangan Israel itu dan menyifatkannya sebagai serangan pengecut.

Sementara itu, seorang tentera Israel terbunuh manakala seorang lagi cedera ringan semasa berbalas balas tembakan dalam operasi sulit tersebut.

Selepas serangan itu, bunyi siren kedengaran di selatan Israel menunjukkan roket dilancarkan Hamas dari Genting Gaza.

Sebanyak 10 roket dilancarkan ke Israel ketika dua roket berjaya dipintas tentera Israel manakala selebihnya gagal dipastikan lokasi pendaratan senjata itu.

Insiden itu juga memaksa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berpatah balik ke Israel selepas menghadiri majlis rasmi di Perancis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN