IPOH 11 Nov. – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tambun meneruskan program Ziarah Kasih Puteri Prihatin bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
Ketua Puterinya, Irmalini Amir Hamzah berkata, meskipun Barisan Nasional (BN) menjadi parti pembangkang, ia tidak menghalang mereka untuk melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Katanya, menerusi program tersebut, mereka dapat mengenal pasti keadaan masyarakat setempat yang mengalami masalah kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Program bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan Hulu kinta ini diadakan kerana kami berasa terpanggil membantu mereka yang terhimpit dengan keadaan ekonomi semasa.
“Selain dapat menjalinkan hubungan lebih akrab bersama penduduk setempat, ia juga memastikan ikatan antara rakyat dan pemimpin terus terjalin biar pun bertukar tampuk kepemimpinan,” katanya.
Menurut beliau, pada program kali ini, pihaknya telah pergi ke beberapa buah rumah dan hospital bagi menyampaikan sumbangan keperluan harian.
Katanya, dalam kunjungan itu, mereka turut memberi sumbangan kepada ibu yang baharu melahirkan bayi, pesakit yang terlantar dan uzur serta orang kurang upaya.
“Bantuan yang diberikan ini diharap dapat membantu meringankan beban dan menceriakan mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, program tersebut melibatkan penyertaan ahli-ahli dan bekas Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO di cawangan dan bahagian DUN Manjoi dan Hulu Kinta.










