KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah, menegaskan peri pentingnya mempunyai kepimpinan yang berani dan berpandangan jauh yang sangat-sangat diperlukan terutama pada masa kini.
Sifat atau ciri-ciri kepimpinan ini amat penting dalam menghadapi cabaran yang kian bertambah dan untuk mengambil kesempatan sepenuhnya daripada peluang-peluang yang juga semakin bertambah di seluruh dunia.
“Setiap hari baru, kita disogokkan dengan cabaran-cabaran yang baru pula; dan pada setiap hari baru, muncul seorang pemimpin baru.
“Kemajuan yang telah dilihat dunia, terutama perubahan pantas yang dialami dalam tempoh 100 tahun yang lalu, adalah hasil daripada pemimpin yang inovatif yang tidak membiarkan diri mereka ditundukkan oleh cabaran-cabaran,” titah baginda dalam Titah Utama pada pembukaan Leadership Energy Summit Asia 2018 yang dianjurkan oleh ICLIF Leadership and Governance Centre di sini hari ini.
Malah, titah Sultan Nazrin, ciri-ciri sama seperti berpandangan jauh, berani, kuat semangat dan tinggi kesungguhan dalam kepimpinan telah melahirkan beberapa pemimpin dunia yang bukan sahaja bersinar lebih terang daripada yang lain tetapi juga telah meninggalkan jasa yang besar untuk kemanusiaan. – Bernama










