PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya pagi tadi selepas dilaporkan menghidap penyakit paru-paru berair.
Menurut adiknya, Abdul Lazam Maidin, Zainuddin sebelum itu hampir pengsan ketika berada di rumahnya kira-kira pukul 10 malam semalam dan beliau dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya sebelum dimasukkan ke wad biasa.
“Bagaimanapun pada pukul 9 pagi tadi, Zainuddin dipindahkan ke wad ICU selepas doktor mengesan beliau menghidap paru-paru berair. Sebelum ini, beliau tidak menghidap sebarang penyakit kronik.
“Pagi tadi, Zainuddin boleh bercakap namun, keadaannya masih tidak stabil. Doktor ada keluarkan air dari dalam badan dan sekarang beliau masih di bawah pemantauan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Lazam, doktor tidak menggalakkan abangnya itu banyak bercakap dan lebih banyak berehat sehingga keadaannya stabil. – K! ONLINE










