KUALA LUMPUR 4 Nov. – Universiti Newcastle, United Kingdom telah menganugerahkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dengan Ijazah Kehormat Doktor Sains sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan penting beliau dalam bidang pengajiannya.

Beliau menerima anugerah tersebut dalam majlis graduasi Universiti Perubatan Newcastle (NUMed) Malaysia kelima di Newcastle, United Kingdom bulan lalu.
Dalam majlis yang dipengerusikan oleh Naib Canselor dan Presiden Universiti Newcastle, Prof. Chris Day itu, sejumlah 126 pelajar menerima pengiktirafan dalam bidang masing-masing.
Bercakap mengenai buku terbaharunya, ‘Eco-Shift: Transformasi Holistik ke arah Kemampanan Alam Sekitar’, Zaini berkata, ia mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman dan pemahamannya mengenai sains, teknologi, dasar dan pembiayaan untuk sektor alam sekitar.
“‘Eco-Shift’ adalah mengenai perubahan yang merangkumi sikap, tabiat, tingkah laku dan transformasi budaya ke arah pembangunan yang mesra alam dan mampan.
“Perubahan adalah tentang mengambil tindakan dengan pelaksanaan yang betul, bukan mengenai cita-cita abstrak atau teori falsafah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










