Zainal sedia bentuk sebuah pasukan mantap - Utusan Malaysia

Zainal sedia bentuk sebuah pasukan mantap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih, Zainal Abidin Hassan yang mengikat kontrak selama setahun dengan Melaka United bersedia untuk membentuk sebuah pasukan mantap bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas pengendali Pahang, Selangor dan Pulau Pinang itu berkata, pembentukan kombinasi terbaik dan memberikan saingan sengit kepada pihak lawan dalam Liga Super menjadi agenda utama dan cabaran kepada beliau pada ketika ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membimbing Melaka United.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik atas amanah yang diberikan.

“Bagi perancangan musim depan, saya akan mula bekerja dan paling penting adalah menubuhkan pasukan (dalam masa terdekat),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani kontrak bersama MUSA di Ayer Keroh, Melaka semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Naib Presiden MUSA, Mohd. Ashiq Abd. Samad.

Zainal, 57, menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih baharu skuad Sang Kancil bagi menggantikan E. Elavarasan selama setahun bermula semalam hingga 13 November 2019.

Mengulas lanjut, legenda Selangor itu membayangkan terdapat pemain Liga Super bakal menyertai Melaka United musim depan, namun nama-nama tersebut masih belum dimuktamadkan.

“Secara kasarnya ada gambaran pemain yang akan diserap masuk ke Melaka United. Perkara tersebut masih dalam peringkat perbinca­ngan dan setakat ini, belum ada kata putus dan perjanjian yang dibuat dengan pemain terbabit,” katanya.

Zainal memberi bayangan mereka yang bakal menyertai skuad Sang Kancil terdiri daripada pemain dari beberapa pasukan teratas dalam Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, Adly membe­ritahu, pengalaman Zainal selama 38 tahun dalam sukan bola sepak menjadi taruhan Melaka United untuk meletakkan pasukan antara yang terbaik dalam Liga M musim depan.

“Kita menaruh sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk memimpin dan melatih skuad Sang Kancil.

“Kita berharap beliau dapat membawa pasukan lebih jauh pada musim hadapan bagi saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN