MELAKA – Bekas pemain kebangsaan era 80 dan 90-an, Zainal Abidin Hassan diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu, bagi membimbing pasukan Melaka United mengharungi musim 2019.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pelantikan itu berkuat kuasa hari ini dan beliau ditawarkan kontrak selama setahun hingga tempoh 13 November 2019 untuk mengemudi skuad Sang Kancil menghadapi kempen Liga Malaysia.
Beliau berkata, pemilihan Zainal Abidin itu berdasarkan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam dunia bola sepak bukan sahaja sebagai jurulatih beberapa pasukan sebelum ini namun sebagai pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Pelantikan ini juga mengambil semangat baharu kepada Melaka United kita berharap pasukan ini dapat membuat persediaan lebih awal bagi membentuk barisan terbaik dalam menghadapi saingan Liga Super musim depan.
“Kepercayaan ini diberikan kepada beliau kerana kita yakin beliau mampu membawa pasukan negeri ini ke peringkat lebih jauh dalam saingan lain juga seperti kempen Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – Bernama










