Zaibo, terima kasih jenakamu - Utusan Malaysia

Zaibo, terima kasih jenakamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

pak SELAMAT, watak yang cukup sinonim dengan Zaibo. Tiada siapa pernah melupakan betapa lucunya lelaki bernama Zainal Ariffin Abd. Hamid dalam sitkom Spanar Jaya yang merupakan satu-satu naskhah paling cemerlang sepanjang karya beliau.

Selama lebih tiga dekad menceriakan dan menyulam pelbagai emosi kepada pencinta seni hiburan tempatan, semalam segalanya hanya tinggal kenangan. Zaibo telah pergi, beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 62 tahun selepas enam bulan disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat. Zaibo meninggal dunia sekitar pukul 1.30 petang semalam di kediamannya di Rengit, Johor.

Berita tersebut benar-benar mengejutkan seluruh warga industri seni dan peminat meskipun semua sedia maklum bahawa penyakit kansernya telah merebak pada bahagian perut, paru-paru serta tulang rusuk kiri.

Ironinya, pada Isnin lalu beliau kelihatan ceria ketika menerima kunjungan daripada Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami baginda Dennis Muhammad Abdullah.

Malah, dalam temu bual pada Isnin lalu, beliau turut meluahkan perasaan rindu terhadap dunia seni dan berhasrat ingin kembali berlakon jika kesihatannya dapat dipulihkan.

Bagaimanapunm, Allah lebih sayangkan Zaibo. Beliau akhirnya pergi atas pangkuan isterinya Siti Hawa Sawal, 52, sambil ditemani oleh beberapa orang anak tirinya.

Meskipun terpaksa menanggung derita sampai ke hujung nyawa, namun kehidupan Zaibo tidak pernah sunyi. Ketika hayatnya masih berbaki, Zaibo sebenarnya telah dirahmati apabila dikurniakan keluarga dan anak-anak yang begitu menyayanginya walaupun bukan zuriat sendiri.

Bertemu jodoh dengan Siti Hawa Sawal, 52, pada usia 54 tahun dan dikurniakan sembilan orang anak segera merupakan satu anugerah buat pelakon filem Magika itu.

“Rakan-rakan seusia pernah mengusik saya, mereka takut saya meninggal dunia di rumah orang tua kerana tiada anak isteri. Alhamdulillah, meskipun jodoh lambat, saya sudah ada keluarga yang akan menjaga saya nanti,” ungkap Zaibo dalam satu temu bual sekitar Januari tahun ini.

Cinta

Transformasi kehidupan daripada lelaki bujang menjadi suami dan bapa kepada sembilan orang anak adalah perkara yang cukup menggembirakan hatinya, malah beliau sanggup berpindah dari Kuala Lumpur ke kampung isterinya di Rengit, Batu Pahat, Johor demi bersama keluarga.

Disebabkan begitu sayangkan isteri, Zaibo juga sanggup memperlahankan kerjaya seni selama dua tahun demi memberi ruang untuk isterinya bekerja dan beliau mengambil alih tugas isteri di rumah.

“Jodoh hadir tanpa disangka dan saya terus dapat ‘anak segera’. Saya tidak pernah jadi bapa, tetapi tiba-tiba harus menyesuaikan diri sebagai suami dan bapa serta hidup sebagai orang kampung.

“Bagaimanapun, selama tujuh tahun lebih berkahwin, saya gembira kerana hidup terisi terutama melihat keletah anak. Saya juga seronok jadi orang kampung. Di kampung saya tidak perlu bergaya, keluar berkain pelekat dan berbaju singlet pun okey,” kongsinya satu ketika dahulu.

Namun, kegembiraan yang dimiliki hanya bertahan selama lebih tujuh tahun. Dua minggu selepas sambutan Aidilfitri tahun ini, Zaibo telah mula menunjukkan simptom penyakit kanser esofagus apabila sering muntah dan tersedak setiap kali makan.

Esofagus adalah bahagian salur makanan yang terletak di antara tekak dan perut. Sebaik disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat, Zaibo mengaku menangis selama tiga hari mengenangkan nasibnya.

Beliau bagaimanapun kembali bangkit dan reda dengan ujian yang diberikan Allah selepas mengenangkan isteri dan anak-anak tirinya.

Bakat

Kini, lelaki berkepala botak itu hanya mampu dikenang menerusi karya-karya seninya. Selain Spanar Jaya yang dibintangi selama enam tahun iaitu dari 1999 sehingga 2005, beliau juga pernah mengundang tawa penonton menerusi sitkom Under One Roof.

Bakat seni Zaibo cukup besar dan sangat sinonim dengan genre komedi. Beliau pernah membintangi sekitar 21 buah filem sepanjang hayatnya. Antaranya termasuk, Queen Control, Soalnya Siapa, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Awan Dania The Movie, Manisnya Cinta Di Cappadoccia, Senario Asam Garam dan sebuah filem Hollywood, Anna and The King.

Kehilangan Zaibo yang boleh disifatkan ikonik dalam dunia lawak tempatan itu pasti mengundang kepiluan ramai.

Rakan artis seperti Wardina Safiyyah yang pernah berlakon dengannya dalam sitkom Spanar Jaya turut meluahkan kesedihan atas pemergian Allahyarham. Zaino sudah dianggap seperti bapanya.

“Saya banyak belajar daripadanya. Arwah memang seperti bapa saya ketika berlakon sebagai Misha dalam sitkom Spanar Jaya. Saya ralat kerana tidak berpeluang untuk melawatnya,” tulis Wardina di Facebook miliknya.

Dalam pada itu pelakon dan pengarah Ahmad Idham yang merupakan kenalan rapat sejak berlakon sitkom Spanar Jaya meluahkan rasa terkilan kerana Allahyarham sepatutnya terlibat dalam sebuah projek khas bersamanya dan Opie Zami.

“Arwah sepatutnya terlibat dalam sebuah projek yang sedang dirancangkan. Malah, arwah juga sempat memberitahu mahu kembali berlakon jika kembali sihat.

“Sedih dan terkilan semuanya bercampur-baur kerana dia bukan sahaja rakan artis tetapi seperti bapa sendiri. Watak Pak Selamat yang dibawa dalam Spanar Jaya benar-benar seperti dirinya. Saya pasti akan merindu arwah,” kongsi Ahmad Idham ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Rengit, Batu Pahat, Johor malam tadi. Terima kasih Zaibo atas memori manis yang ditinggalkan dalam karya-karya mencuit hati. Terima kasih juga kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi menentang kanser yang secara tidak langsung memberi banyak inspirasi kepada banyak orang. Berehatlah, damailah Zaibo di negeri abadi. Al-Fatihah.

Selepas enam bulan berjuang menentang penyakit kanser esofagus tahap empat, akhirnya pelakon dan pelawak Allahyarham Zaibo menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.20 petang di kediamannya semalam. Ironinya, pada Isnin lalu Allahyarham sempat meluahkan hasrat untuk kembali berlakon andai kesihatannya pulih seperti sediakala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN