Xinjiang semakin bertindak kejam - Utusan Malaysia

Xinjiang semakin bertindak kejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING 24 Nov. – Pihak berkuasa di wi­la­yah autonomi Xinjiang didakwa menjatuhi hukuman mati terhadap seorang ahli perniagaan etnik Uighur yang beragama Islam kerana menunaikan ibadah haji di Mekah.

Portal berita Radio Free Asia melaporkan, Abdughapar Abdurusul yang juga seorang pakar falsafah dari daerah Bakyol di Xinjiang ditahan pada Ogos lalu, menurut adiknya, Abdusattar Abdurusul.

“Berita terbaharu yang saya dengar mengenai abang saya adalah dia dijatuhi hukuman mati dan kini menunggu hukuman tersebut dilaksanakan. Sebab utama hukuman itu adalah ke­rana abang saya menunaikan haji tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Abdusattar, abangnya tidak dibenarkan diwakili mana-mana peguam ketika ditahan dan mendakwa hukuman mati yang dikenakan itu tidak sah.

Katanya, semua hukuman mati perlu diteliti oleh Mahkamah Agung China di sini.

Abdughapar yang berusia 42 tahun serta mempunyai empat cahaya mata itu memiliki beberapa kedai dan perniagaan, selain sering mengeluarkan duitnya sendiri untuk memba­ngunkan masjid bagi penduduk tempatan.

Selepas dia ditahan, harta keluarganya yang bernilai AS$14.4 juta (RM60.5 juta) turut dirampas pihak berkuasa Xinjiang.

Penahanan Abdughapar memberi kesan kepada semua keluarganya, selain menjejaskan kehidupan mereka.

Sebelum ini anak sulungnya, Awzer ditahan pada tahun lalu selepas tamat pengajian di Turki manakala isterinya, Merhaba Hajim ditahan pada April lalu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Xinjiang enggan memberi sebarang kenyataan berhubung penahanan serta hukuman mati terhadap Abdughapar.

Menurut seorang rakan Abdughapar, isteri ahli perniagaan itu sudah meninggal dunia ketika ditahan dalam penjara, manakala lebih 50 orang yang mempunyai kaitan dengannya turut ditahan sebelum ini.

Perkara itu turut dinyatakan oleh seorang lagi rakan Abdughapar yang dikenali sebagai Turghunay yang menegaskan bahawa Merhaba meninggal dunia dalam kem tahanan dan sijil kematiannya sudah diserahkan kepada keluarganya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini