WIRA, NAAM anjur Kejohanan Memanah Terbuka Kebangsaan - Utusan Malaysia

WIRA, NAAM anjur Kejohanan Memanah Terbuka Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Persatuan Memanah Red Arrows Wilayah Persekutuan (WIRA) dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) akan menganjurkan Kejohanan Memanah Terbuka Kebangsaan bawah 12 tahun di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat di sini pada 16 November depan.

Kejohanan selama tiga hari itu turut mendapat kerjasama Kelab Memanah Wira Junior, Kelab Memanah ProX, Majlis Sukan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Presiden WIRA, Leftenan Kolonel (bersara) Shaharudin Sulaiman berkata, seramai kira-kira 350 peserta dari pelbagai lapisan umur akan menyertai kejohanan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejohanan ini terbahagi kepada empat kategori iaitu bawah 12 tahun, 50 meter; bawah 12 tahun, 30 meter; bawah 10 tahun, 20 meter dan bawah 8 tahun, 10 meter. Pemenang akan membawa pulang medal dan wang tunai. 

“Saya harap dengan penganjuran kali ini dapat membuka mata pelbagai pihak dalam memberi bantuan dari segi kewangan dan sokongan moral,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Tambah Shaharuddin, perkembangan sukan memanah bawah 12 tahun semakin pesat membangun di negara ini khususnya di kawasan Lembah Klang.

“Kita mahu melahirkan pemanah bertaraf dunia dan ia harus bermula dari peringkat akar umbi. Mereka ini mempunyai bakat yang besar yang harus diberi perhatian.

“Penganjuran kali ini juga bertindak sebagai pentas terakhir bagi musim 2018 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi dan kejohanan ini akan menjadi medan persediaan bagi pemanah untuk musim hadapan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×