LOS ANGELES 2 Nov. – Syarikat Facebook Inc. mengesahkan aplikasi WhatsApp bakal memaparkan iklan dalam ruangan Status tidak lama lagi.
Menurut Naib Presiden Facebook, Chris Daniels, langkah itu dibuat bagi menambahkan pendapatan kepada syarikat tersebut.
“Kami akan memaparkan iklan dalam ruangan Status. Ini juga akan menjadi sumber pendapatan utama bagi syarikat selain memberi peluang kepada firma perniagaan untuk mengiklankan produk mereka kepada pengguna,” jelas Daniels.
Sejak Facebook mengambil alih WhatsApp, terdapat ura-ura bahawa Facebook akan memaparkan iklan dalam aplikasi tersebut.
Lapor The Wall Street Journal, lebih 100 syarikat merancang untuk mengiklankan produk mereka pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, iklan tersebut tidak akan dipaparkan ketika anda berbual bersama teman atau rakan-rakan.
WhatsApp Status adalah sama dengan Stories pada aplikasi Snapchat di mana pengguna boleh memuat naik video, imej atau GIF.
Ujar Facebook, seramai 450 juta pengguna Facebook menggunakan WhatsApp Status.










