KUALA LUMPUR 5 Nov. – Arahan larangan berpantun oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap juruacara dalam majlis rasmi ketenteraan mengundang pelbagai reaksi dari warganet.
Menyifatkan pantun sebagai budaya warisan yang tinggi nilai estetika, warganet berkongsi pantun berkaitan tentera yang boleh dijadikan rujukan dalam majlis rasmi ketenteraan.
Antaranya Facebook Malaysia Military Power (MPP) yang selalu mengetengahkan isu-isu berkaitan isu pertahanan, aset dan peralatan senjata.
“Ramai yang minta MMP kupas isu pantun tu. MMP malas nak kupas isu mcm ni. Tapi MMP nak ambil inisiatif nak tolong ATM beberapa jenis pantun yang short (pendek) dan sharp (tepat). Kau orang wajib jawab dalam pantun sahaja,” tulis pentadbir Facebook MMP.
Berikut pantun yang dijual oleh MMP:
Oto melara nama diberi
Duduk sebelah dgn oerlikon
Riang hati tidak terperi
ATM siaga sebagai ikon
Jem nenas tak tentu manis,
Biskut rangsum keras digigi,
Jangan kuat makan manis,
Kelak akan rosak gigi.
Kalau ada kubu dipadang,
Boleh kita pasang GPMG,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita jumpa lagi.
Kalau ada M-16 di amra,
jangan pula simpan dalam peti,
Kalau macam ni punya cara,
Lebih baik dibawa mati
Condor sibmas dibawa belayar
Lipanbara membawa peti
Hutang rangsum boleh dibayar
Hutang awol dibawa mati.
Pantun yang dikarang itu turut mendapat balasan dan dibeli oleh pengikut Facebook MMP:
Cik Su menari terbang nan tinggi,
Abam Fulcrum bersayap tigalah segi,
Bajet tahunan datang dan pergi,
Janganlah jadi harimau tidak bergigi.
Meriam G5 besar sekali,
Sekali berdentum terbanglah gigi,
Entah kenapa pertahan dipandang sepi,
Seakan menjemput bala kemari.
Su30 MKM di awan,
Beli 18 terbang 4,
Bajet 5 billion dalam tangan,
MRCA sampai bila tak akan dapap.
Kalau ada M16 di amra,
Jangan pula simpan dalam peti,
Admin MMP lawaknya bersahaja,
Sila duduk jangan lari.
Pulau pandan jauh ketengah,
Gunung daik bercabang tiga,
MMP malas dah nak tegah-tegah,
Nak tembak terus pakai bazooka pula.
Ade pangkat janganlah ekk,
Snipper power tembaknya tepat,
Bajet pertahanan kena la naik,
Baru negara dan bangsa selamat.
Memang adat pewira bangsa,
Menjulang negara menjaga santun,
Habis adat musnah binasa,
Orang atasan mengkubur pantun.
Pantang pendekar menyerah kalah,
Walau meriam membadai pertiwi,
Apakah berpantun dikira salah,
Sedangkan perwira umumnya jawi.-UTUSAN ONLINE










