ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kakitangan dan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menguasai budaya Masyarakat Pintar 5.0 demi memajukan negeri yang terkenal dengan ikon mempelam harumanis itu.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pembentukan Masyarakat Pintar 5.0 amat menumpukan pemantapan teknologi canggih, infrastruktur dan ilmu pengetahuan yang berkesan dan dinamik.
“Pelaksanaan inisiatif yang melibatkan aktiviti keusahawanan juga mampu memberikan impak positif kepada masyarakat setempat dan perlulah dipergiatkan.
“Justeru, bidang keusahawanan berimpak tinggi dan menggunakan teknologi canggih ini diharap mampu memberikan manfaat kepada lebih 250,000 rakyat Perlis,” titah baginda yang berkenan berangkat hadir dan merasmikan Program GIG Economy@UniMAP 2018 di Kampus Tetap UniMAP Pauh Putra di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.
UniMAP merupakan universiti awam terbesar di Perlis yang menumpukan pengajian bidang kejuruteraan berimpak tinggi. – K! ONLINE










