Warga Uniciti Unimap lega nikmati internet berkelajuan tinggi - Utusan Malaysia

Warga Uniciti Unimap lega nikmati internet berkelajuan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 5 Nov. – Warga Kampus Uniciti Alam, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) boleh menarik nafas lega kerana telah menikmati capaian internet berkelajuan tinggi iaitu sehingga 1,000 Megabait sesaat (Mbps), bermula penghujung bulan lalu.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, peningkatan capaian internet itu adalah bagi memudahkan pelajar mencari bahan-bahan untuk melaksanakan projek atau tugasan.

“Sebelum ini, capaian internet di Kampus Uniciti Alam hanyalah berkelajuan 16 Mbps dan merumitkan pelajar untuk mengakses internet.

“Hasil pemerhatian yang dilakukan, walaupun masih di tahap percubaan, pelajar sudah boleh mengakses capaian internet pada tahap maksimum, ini adalah perkembangan yang baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi), C. Janathan, peningkatan kelajuan internet itu memberi banyak manfaat kepada pelajar Uniciti.

“Jika sebelum ini kami menghadapi masalah internet yang perlahan disebabkan penggunaan yang tinggi, tapi sekarang ia tidak menjadi masalah lagi,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pelajar, Nurul Asyikin Zoolhasri yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) melahirkan rasa syukur dengan penyediaan internet berkelajuan tinggi yang diberikan Unimap.

“Peningkatan kelajuan internet ini sangat membantu kami, para pelajar dalam proses menyiapkan tugasan dan projek yang telah diberikan pensyarah.

“Sebelum ini saya terpaksa membeli pakej internet sendiri untuk melayari laman web bagi mencari bahan disebabkan penggunaan internet yang perlahan pada waktu puncak. Terima kasih UniMAP di atas kemudahan ini,” katanya.

Untuk rekod, pada 2016, Unimap telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Strategic Alliance Sdn. Bhd. (SASB), sebuah syarikat pengintegrasian penyelesaian teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi meningkatkan kapasiti saiz jalur lebar untuk kegunaan warganya di pusat bandar.

Kerjasama itu juga membolehkan warga Unimap menikmati keupayaan capaian jalur lebar yang lebih tinggi iaitu 200 Mbps berbanding hanya 8Mbps serta mampu menjimatkan perbelanjaan universiti sehingga RM10 juta untuk tempoh tiga tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN