BESUT 1 Nov. – Warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pengkalan Udara Gong Kedak (PUGK) membawa kemeriahan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di sini hari ini dalam program Hubungan Komuniti (COMREL).
Dalam program yang mendekatkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat itu, sebanyak 10 keluarga asnaf turut menerima sumbangan barangan keperluan harian, selain bergotong-royong mengindah dan membersihkan persekitaran dan memasak juadah.
Sumbangan disampaikan oleh Panglima Operasi Udara, Markas Pemerintahan Operasi Udara, Left. Jen. Datuk Sri Abdul Mutalib Ab. Wahab dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Staf Markas Operasi Udara, Mejar Jen. Datuk Zahani Zainal Abidin dan guru besar sekolah berkenaan, Azemi Yazid.
Abdul Mutalib dan Zahani turut mengunjungi dan bermesra dengan murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sambil meninjau projek pembaikan yang dijalankan di sekolah tersebut.
Program itu sempena Eksesais Para Drop Air Defence, Insertion, Strike, Search & Rescue and Extraction (Eks PARADISE) Siri 5/2018.
Selama dua hari anggota TUDM menjalankan aktiviti cat mengecat dewan sekolah dan membersihkan persekitaran di samping bergotong-royong memasak bersama penduduk lima buah kampung sekitar menjayakan majlis bekwah (kenduri). – UTUSAN ONLINE











