KLANG – Seorang wanita warga emas mengalami retak tulang tangan kanan serta bengkak pada pipi selepas diragut oleh menantunya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Bukit Kapar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun itu turut kehilangan seutas rantai leher selepas diragut lelaki berusia 43 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, berdasarkan laporan ahli keluarga mangsa, kejadian tersebut berlaku selepas suspek masuk ke dalam bilik tidur ibu mertuanya sebelum merentap rantai leher yang berada pada badan mangsa.
Beliau berkata, suspek yang menutup muka dengan sehelai kain sapu tangan kemudiannya bertindak keluar rumah melalui pintu depan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.
“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang lengan kanan serta bengkak di pipi kanan ketika menghalang kejadian dan kini dirawat di Hospital Shah Alam.
“Seutas rantai emas milik mangsa turut dilarikan suspek,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazelan berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis daripada Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Taman Meru kira-kira pukul 2.30 pagi dan berjaya menahan suspek yang juga menantu mangsa.
“Dalam serbuan sama, kita turut menahan isteri suspek berusia 47 tahun yang juga anak kepada wanita warga emas terbabit kerana disyaki bersubahat dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku dia terlibat dalam kes berkenaan dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah,”ujarnya.
Tambah Mazelan, pihak polis kini sedang berusaha mengesan pembeli kepada rantai emas berkenaan yang didakwa sudah dijual. – K! ONLINE










