OREGON, Amerika Syarikat – Seorang ibu yang lumpuh akibat kemalangan kereta kini boleh berjalan semula dengan bantuan satu sut robotik ala Iron Man.
Monique Kelley, 28, dari Bend di sini lumpuh selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok dekat Klamath Falls pada Januari lalu.
Impak kemalangan itu menyebabkan Kelley patah sejumlah tulang rusuk, bocor peparu dan tulang belakangnya retak sekali gus menyebabkannya lumpuh bawah paras dada.
Sebaik pulih daripada kecederaan, dia belajar mengendalikan kerusi roda dan berlatih berdiri semula tanpa alat bantuan sokongan. Selepas itu, dia belajar berjalan semula dengan bantuan robotik rangka luar.
Kelley diberi pakai sut robotik ReWalk berteknologi tinggi itu selama satu tahun oleh Universiti Stanford. Alat bantuan berjalan semula itu diikat pada kaki pesakit dan membantu menguatkan otot kaki mereka ketika melangkah.
“Kali pertama menggunakan robotik rangka luar ini, saya menjadi sangat beremosi. Ini adalah kali pertama kaki saya melangkah selepas terlibat dalam kemalangan.
“Bagi mereka yang hidup dengan kecederaan tulang belakang, teknologi rangka luar ini adalah pilihan terbaik untuk sembuh. Saya rasa seperti manusia normal semula,” katanya. – Agensi











