SINGAPURA – Wang yang dicuri dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak US$4.3 bilion (RM18.04 bilion) akan dibawa balik ke Malaysia walaupun mungkin tidak kesemuanya, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
“DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) kata jumlahnya kira-kira US$4.3 bilion. Kita berharap untuk mendapat balik jumlah itu tetapi mungkin sebahagian besar daripada jumlah itu telah hilang sebelum ini,” katanya. Bagaimanapun, wang itu mungkin tidak dapat dibawa balik dalam masa yang cepat kerana terdapat pelbagai proses yang terlibat, kata beliau.
“Mula-mulanya anda perlu membuktikan bahawa wang itu adalah milik anda. Setelah anda dapat membuktikannya sudah tentulah ada proses-proses yang harus dilalui. Mereka bukan boleh sekadar mengutipnya lalu menyerahkannya kepada anda di depan kaunter.
“Jadi, sudah tentu ia akan mengambil masa. DOJ telah berjanji akan memulangkan wang itu kepada kita,” katanya pada sidang akhbar semasa ditanya sama ada Malaysia sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa balik wang itu.
Ditanya sama ada Malaysia akan mengenakan tindakan-tindakan menghukum terhadap bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs Group yang terlibat dalam skandal 1MDB dan sedang disiasat oleh DOJ, Mahathir berkata: “Kami yakin kepada kedaulatan undang-undang.” – Bernama










