LONDON – Pelumba Movistar Yamaha, Maverick Vinales mahu menggunakan pendekatan lebih bijak untuk menghadapi sesi ujian musim sejuk di Valencia pada tahun ini selepas melalui musim yang hambar sepanjang kempen tahun 2018.
Bulan lalu, Vinales mendedahkan bahawa Yamaha telah melakukan kesilapan dari segi pemilihan enjin pada awal musim lalu sekali gus memberi tamparan besar buat pasukannya sepanjang tahun.
Pelumba Sepanyol berusia 23 tahun tersebut juga mengakui lebih suka menggunakan jentera lama yang digunakan pelumba Tech3, Johann Zarco.
Sehubungan itu, Vinales menegaskan bahawa dia akan memberikan fokus pada prestasi enjin dalam sesi ujian di Valencia nanti.
“Hanya satu perkara sahaja yang perlu diubah pada jentera kami iaitu enjin. Saya mahu melakukan yang terbaik serta lebih bijak pada sesi ujian kali ini.
“Pada musim lalu, saya tidak memberikan sepenuh fokus pada sesi ujian di Valencia. Peringkat awal semuanya berjalan dengan baik tetapi akhirnya kami terpaksa mengubah banyak benda untuk mencari pelarasan terbaik
“Tahun ini, saya akan habiskan masa selama dua hari hanya untuk mencari prestasi enjin terbaik,” jelasnya. – AGENSI










