[VIDEO]Polis nafi kasari pemandu kereta - Utusan Malaysia

[VIDEO]Polis nafi kasari pemandu kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 6 Nov. – Polis menafikan dakwaan anggota pasukan itu bertindak kasar terhadap seorang lelaki yang melakukan kesalahan meletak kenderaan di hadapan sebuah bank di pekan Bahau dekat sini semalam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, anggota polis terlibat langsung tidak menyentuh lelaki terbabit, sebaliknya cuma menasihatinya supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

“Lelaki itu mabuk dan enggan bekerjasama apabila diminta mengalihkan keretanya kerana menghalang laluan.

“Kami cuma menjalankan tugas dan mengenal pasti tempat kejadian iaitu di hadapan Maybank Bahau sebagai zon penguatkuasaan tegas larangan meletak kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, sebuah rakaman video berdurasi selama enam minit memaparkan beberapa individu membantah tindakan polis menahan seorang pemandu kereta tular dalam media sosial.

Mereka mendakwa seorang anggota polis bertindak kasar dengan menendang lelaki itu kerana meletakkan kereta di hadapan sebuah bank sewaktu isteri dan anaknya menunggu di dalam kenderaan tersebut.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pemilik kereta tersebut mengakui kesilapan yang dilakukannya selepas dia dibawa ke balai polis berhampiran.

“Pihak polis telah beri amaran supaya dia tidak mengulangi kesalahan. Kami pun tidak mahu panjangkan hal ini kerana hari ini Deepavali. Jika ditangkap, pasti dia kena tidur di lokap,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN