KUALA LUMPUR 13 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menaik taraf Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak bagi menangani peningkatan jumlah kes berkenaan di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, untuk tahun ini sahaja, kes melibatkan jabatan itu mencecah 11,000 dan kemudahan yang ada sekarang tidak mampu menampung keperluan tersebut.
“Jabatan ini yang turut menempatkan pusat perlindungan mangsa sudah sekian lama tidak ditambah baik.
“Kes sekarang tersangat banyak, jadi saya akan menulis kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya naik taraf D11, ” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja di Bukit Aman, di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. – UTUSAN ONLINE










