[VIDEO] Politik wang berlaku pada pemilihan PKR Cabang Lanang, Sibu? - Utusan Malaysia

[VIDEO] Politik wang berlaku pada pemilihan PKR Cabang Lanang, Sibu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU 11 Nov. – Pemilihan PKR Cabang Lanang di sini didakwa berlakunya politik wang yang dilakukan individu atau kumpulan tertentu bagi pihak berkepentingan semalam.

Menurut wakil bagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Shatiri Mansor, dia bersama lima lagi wakil menyaksikan perbuatan mencurigakan tersebut yang menjurus kepada politik wang.

Katanya, mereka melihat kumpulan calon Ketua Cabang Lanang membawa sekumpulan orang masuk ke dalam klinik yang berada di bawah tempat mengundi dan selepas 10 minit mereka keluar terus naik untuk mengundi pada pukul 8.40 pagi.

ENAM wakil dan pemerhati calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan
ENAM wakil dan pemerhati calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan di Balai Polis Lanang, Sibu pagi tadi. – UTUSAN ONLINE

“Kami hanya menyangka mungkin bagi keselesaan pengundi namun sekitar pukul 11 pagi didapati setiap kali pengundi turun, mereka akan dipanggil dan masuk ke klinik berkenaan.

“Tidak lama dalam sekitar 10 saat pengundi akan keluar membuatkan kami mengambil gambar perbuatan itu,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Lanang, di sini sebentar tadi.

Pemilihan PKR Cabang Lanang menyaksikan calon Timbalan Presiden, Mohamed Azmin mendapat 187 undi manakala Rafizi (tujuh undi).

Bagaimanapun katanya, perbuatan mengambil gambar itu seperti diketahui dan mereka menghentikan kegiatan berkenaan.

“Tidak berapa lama, kami dapati mereka bertukar lokasi di restoran bersebelahan klinik itu kira-kira pukul 11 pagi.

“Kami berjaya merakam video kegiatan itu namun disedari menyebabkan mereka lebih berhati-hati dan menghentikan sehingga waktu pengundian tamat semalam,” jelasnya.

Menurutnya, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Lanang pada sekitar pukul 10 pagi tadi.

“Kami bersedia membantu siasatan jika diperlukan demi menjaga integriti parti yang menentang politik wang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN