[VIDEO] Polis buru pemilik motosikal ubah suai ekzos - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis buru pemilik motosikal ubah suai ekzos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 8 Nov. – Ekoran aduan bertali arus daripada masyarakat setempat, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mengambil inisiatif menubuhkan pasukan khas trafik bagi memburu mana-mana pemilik motosikal di daerah ini yang bertindak mengubahsuai ekzos motosikal untuk mengeluarkan bunyi seakan letupan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, tindakan itu bagi menghalang perbuatan berkenaan yang kian menjadi ikutan anak-anak muda di daerah ini.

“Kami menerima terlalu banyak aduan mengatakan bunyi dikeluarkan itu terlalu bising sehingga mengganggu ketenteraman masyarakat sekitar.

“Disebabkan itu pasukan khas ini ditubuhkan. Tambahan pula memang wujud peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Setar di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini pihaknya sudah pun menyita beberapa motosikal dengan empat daripadanya masih berada dalam simpanan pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tindakan boleh diambil mengikut Akta Jalan Raya 1987 selain kes tersebut boleh dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk hukuman lebih tegas.

“Jadi saya mahu ingatkan semua yang terlibat terutamanya anak-anak muda supaya menghentikan perbuatan ini. Jika tidak, mereka boleh disaman dengan kadar yang lebih mahal daripada harga motosikal dimiliki,” katanya.

Sita curi motosikal
MOHD. Rozi Jidin (kiri) melihat motosikal yang disita akibat mengubah suai ekzos untuk mengeluarkan bunyi yang terlalu bising sehingga mengganggu ketenteraman masyarakat pada sidang akhbar berkaitan kes jenayah dan kes jenayah narkotik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini. – UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

Sementara itu Mohd. Rozi berkata, kes merosakan barangan dan membuang helaian al-Quran ke dalam tandas yang berlaku di sebuah masjid di Pokok Sena baru-baru ini bukanlah berpunca daripada isu keagamaan atau perkauman seperti ditularkan beberapa pihak.

“Pada 1 November lepas, kami telah menahan seorang remaja Melayu beragama Islam berusia 18 tahun yang mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Dakwanya, ketika kejadian dia seolah-olah berhalusinasi dan terikut-ikut dengan hasutan suara tertentu.

“Kami telah membawanya ke mahkamah dan dia akan dirujuk ke pihak psikiatri untuk tindakan lanjut. Disebabkan itu, saya berharap semua pihak berhenti membuat dakwaan kononnya kes ini bertujuan menghina mana-mana agama kerana siasatan kami mendapati masalah berpunca dariada keadaan mental suspek,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN