[VIDEO] Moonstruck album Inggeris sentuhan produser Australia - Utusan Malaysia

[VIDEO] Moonstruck album Inggeris sentuhan produser Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada, Norrela Iznin Abd. Ghani atau nama pentasnya, Norrela tampil dengan sebuah album debut berjudul Moonstruck.


Video oleh HASNURUL MOHAMED

Mengandungi 10 buah lagu dalam bahasa Inggeris, Moonstruck dilancarkan petang ini dalam satu majlis santai dan sekali gus, memperkenalkan Norrela kepada hadirin.

Bercakap kepada wartawan Utusan Online, Norrela berkata, sebelum melahirkan album Moonstruck, beliau pada mulanya ingin melahirkan satu single untuk memberinya kepuasan menyanyikan lagu miliknya sendiri.

“Jiwa saya memang suka menyanyi dan saya juga menulis lirik sendiri.

“Apabila anak-anak sudah besar, saya mempunyai masa senggang untuk menulis lirik demi lirik dan cabarannya ialah untuk mencari komposer dan produser yang dapat menzahirkan impian saya,” katanya.

Norrela berkata, lirik Song Serenade, track nombor dua dalam album Moonstruck, dibawa kepada seorang pemuzik untuk diciptakan melodinya.

Bagaimanapun, ujar Norrela, hasilnya tidak memuaskan hati.

Justeru beliau terpaksa terus mencari komposer untuk merealisasikan impiannya untuk menyanyikan lagunya sendiri, bukan lagu penyanyi lain.

Beliau berkata, pencarian komposer dan penerbit akhirnya dibuat secara dalam talian dan beliau bernasib baik kerana dipertemukan dengan Andy Court dari Australia.

“Bukan saya tidak cuba pemuzik tempatan dan bukan saya tidak berusaha mencari komposer tempatan tetapi nasib tidak berpihak kepada saya.

“Saya bertuah dapat berhubung dengan Andy dan selepas belia meneliti lirik yang saya hasilkan, beliau suka dan terjalinlah kolaborasi antara kami,” jelasnya.

Kata Norrela, bekerjasama dengan Andy turut mengubah pemikirannya daripada menghasilkan satu single kepada sebuah album debut.

“Secara jujurnya apabila Andy menyatakan lirik-lirik yang saya tulis tu bagus dan boleh untuk satu album, saya pun setuju dengan cadangannya.

“Dan hari ini, album Moonstruck siap dihasilkan dan ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia untuk rakaman dirasakan berbaloi,” katanya.

Tambah Norrela, lirik-lirik yang ditulisnya menceritakan tentang perihal kehidupan yang dilaluinya.

“Sebagai anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak pada usia 18 tahun dapat melanjutkan pelajaran ke Nottingham dalam bidang Sains Akuari Biologi sekitar tahun 1973, pertama kali melihat bulan di negara orang, saya rasa kagum.

“Kenangan itu saya abadikan dalam lirik lagu berjudul I’m Moonstruck,” kata.

Untuk mendapatkan album Moonstruck yang dijual pada harga RM60, boleh hubungi Norrela menerusi emelnya.

“Moonstruck dicetak secara terhad iaitu 300 unit sahaja,” katanya seraya mengakhiri perbualan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN