LONDON 12 Nov. – Manchester City mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas menang bergaya ke atas pasukan jiran, Manchester United 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Etihad awal hari ini.
Skuad bimbingan Pep Guardiola itu jelas tidak menghadapi masalah besar untuk menjinakkan skuad kendalian Jose Mourinho dengan mudah memperoleh gol di awal babak pertama dan kedua menerusi David Silva dan Sergio Aguero sebelum Ilkay Gundogan menyempurnakan gol ketiga di penghujung permainan.
Gol saguhati United pula dijaringkan Anthony Martial menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil selepas Romelu Lukaku dijatuhkan dalam kotak penalti sebaik dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Kemenangan ini membolehkan City mengatasi pasukan di tangga kedua, Liverpool dengan kelebihan dua mata selepas skuad kendalian Jurgen Klopp itu turut mencatat kemenangan ke atas Fulham dengan keputusan 2-0.
Chelsea pula tergelincir di tangga ketiga liga selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Everton. – Agensi










