KUALA LUMPUR 3 Nov. – Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) empat balai polis daerahnya menangani aktiviti jenayah dan jenayah jalanan dalam tempoh 48 jam.
Beliau menetapkan demikian pada Sesi Dialog Bersama Dengan Polis Daerah Serdang yang diadakan di Dewan Serbaguna Seri Kembangan, Selangor, semalam.
Program tersebut yang julung kali diadakan mendapat perhatian penduduk Serdang yang dihadiri 600 wakil penduduk.
“Setiap aduan disampaikan wakil penduduk pada sesi dialog akan saya cuba selesaikan dalam tempoh 48 jam.
“Saya arahkan semua ketua polis balai di daerah Serdang memandang serius aduan jenayah yang dilaporkan dan tempoh 48 jam diberikan kepada anda (ketua balai) untuk selesaikan,” katanya dalam sesi dialog tersebut anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Video oleh BASIR ABU BAKAR
Sesi dialog itu turut dihadiri ahli majlis daerah Serdang, pegawai kanan polis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Ismadi yang baru enam bulan berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Serdang komited membantu masyarakat dan berusaha memastikan indeks jenayah dapat diturunkan.
Tambahnya, kerjasama yang telah terjalin selama ini perlu diteruskan dan diperkuatkan dengan kerjasama erat bersama masyarakat.
“Saya kongsikan nombor telefon saya dan pegawai kanan saya untuk wakil masyarakat gunakan sebaik mungkin bagi memastikan jenayah dapat dibenteras.
“Jika aduan yang diutarakan tiada penyelesaian dalam tempoh 48 jam. Setiap wakil masyarakat boleh menelefon atau WhatsApp saya mengadu perkara berkenaan dan saya akan bertindak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










