BATU PAHAT 9 Nov. – Sekumpulan pencuri kereta mewah dikenali Geng Yon Kuang hanya mengambil masa kurang tiga minit untuk melarikan kenderaan disasarkan terutama yang menggunakan sistem ‘push start button’ di daerah ini.
Video IHSAN PDRM
Kumpulan itu juga ‘tidak berkira’ apabila hanya menjual kereta curi terbabit pada harga yang tidak masuk akal iaitu hanya 10 peratus daripada harga asal.
Sebagai contoh Toyota Vellfire yang dilarikan kumpulan berkenaan hanya dijual pada harga RM21,000 berbanding harga sebenar yang mencecah lebih RM300,000.
Namun, kumpulan tersebut yang tidak serik melakukan kegiatan curi kenderaan, diberkas lagi biarpun sebahagian mereka masih terlibat dalam perbicaraan kes sebelum ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pihaknya menahan tujuh anggota kumpulan itu termasuk dua wanita yang kesemuanya berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun sejak 21 Oktober lalu hingga semalam.
Menurutnya, kumpulan ini menggunakan peranti khas yang berupaya menggodam sistem elektronik kenderaan terutamanya `push start button’ bagi mematikan penggera sebelum menghidupkan enjin kenderaan.
Ujarnya, selain Toyota Vellfire berkenaan, pihaknya menemukan semula masing-masing sebuah Toyota Fortuner, Honda CR-V, Honda HR-V dan Honda Accord bernilai kira-kira RM800,000 yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Sindiket ini mempunyai peralatan untuk memadam nombor casis dan enjin kenderaan yang asal dan ditukar ke nombor palsu termasuk menyediakan cukai jalan juga disyaki palsu.
“Selain kenderaan terbabit, kita turut merampas beberapa peralatan bagi kegunaan jenayah berkenaan termasuk pemutar skru, dril, mesin pencetak dan lain-lain barangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Azhan menjelaskan, kumpulan berkenaan juga bertindak berani dengan memecah masuk kawasan rumah mangsa untuk mencuri kenderaan biarpun dilengkapi pintu pagar automatik dan kamera litar tertutup (CCTV).
“Mereka mencuri kenderaan mewah berkenaan hanya dalam tempoh tidak sampai tiga minit, tidak kira diletakkan di kawasan rumah atau awam dan kumpulan ini melarikan dahulu kereta-kereta terbabit sebelum mencari pelanggan,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Tambah Azhan, dengan tertangkapnya kesemua suspek berkenaan di daerah ini dan Johor Bahru, pihaknya percaya dapat menyelesaikan beberapa kejadian curi kenderaan termasuk di Petaling Jaya, Selangor.










