BESUT 2 Nov. – Eksesais Paradise Siri 5/2018 yang berakhir hari ini membuktikan keupayaan aset ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu diatur gerak dengan berkesan dalam menghadapi segala ancaman kepada negara.
Video oleh KAMARUL KAMARUDIN
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Eksesais Paradise yang merupakan latihan utama pasukan itu, tahun ini buat pertama kali melibatkan aset-aset Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Latihan ini akan menjadi tanda aras dalam menentukan tahap kesiagaan kita. Oleh itu dalam soal pertahanan udara kita tidak berkompromi soal latihan meskipun berdepan kekangan kewangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Eksesais Paradise Siri 5/2018 di Pangkalan Udara Gong Kedak di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd. Jais.
Eksesais Paradise berlangsung selama 14 hari membabitkan 3,109 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Antara latihan yang dilaksanakan adalah latihan tembakan udara ke permukaan, air to air refueling, force down procedure, mass drop dan spesial operation troop insertation.
Sebanyak empat pangkalan udara terlibat iaitu Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak, Kuantan, Butterworth dan Subang.
Sebanyak 208 penerbangan membabitkan 400 jam penerbangan berjaya dilakukan membabitkan guguran udara sebanyak 13.8 tan di empat zon pengguguran. – UTUSAN ONLINE










