PALU (Indonesia) 1 Nov. – Pasar raya Econsave menyasarkan sumbangan sebanyak RM500,000 bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda kota ini pada 28 September lalu.
Video oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyediakan tabung khas di semua cawangan pasar raya berkenaan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan masing-masing.
“Hasil sumbangan ini akan disalurkan untuk membuat Rumah Senyum dan perahu bagi mangsa di sini dan Donggala yang kehilangan sumber pendapatan apabila semua kelengkapan menangkap ikan musnah akibat tsunami.
“Berdasarkan tinjauan semasa menyertai misi kemanusiaan kali ini, mangsa bukan sahaja memerlukan barangan keperluan asas seperti makanan, malah amat mengharapkan bantuan rumah dan kelengkapan bagi memulakan kehidupan pasca bencana,” katanya ditemui semasa menyertai misi kemanusiaan ke sini, baru-baru ini.
Misi kemanusiaan yang diketuai Pengerusi MyCare Johor, Prof. Dr. Mohd. Zin Kandar itu turut disertai Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor dan dua doktor daripada Ikram Health, iaitu Dr. Rafidah Bahari dan Dr. Hariani Ishak.
Mas Imran berkata, kempen sumbangan untuk Palu telah digerakkan kira-kira sebulan lalu dan akan dilanjutkan selama dua bulan lagi bagi memberi lebih banyak pihak menghulurkan bantuan.
“Setakat ini, lebih RM100,000 berjaya dikutip dan kami berharap sasaran RM500,000 dapat dicapai supaya segera disampaikan kepada mangsa di sini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Zin berkata, semasa di Palu, pihaknya menyampaikan sumbangan daripada MyCare dan Econsave berjumlah lebih RM100,000 dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak, pek makanan, kit penjagaan wanita serta makanan segera untuk kanak-kanak.











