[VIDEO] Bekas pengarah syarikat didakwa terima rasuah kerja pembinaan di KLIA2 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Bekas pengarah syarikat didakwa terima rasuah kerja pembinaan di KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan dan kejuruteraan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM270,000 bagi kerja-kerja pembinaan sistem jaringan rangkaian saluran paip hidran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), enam tahun lalu.

Tertuduh, Affendy Bahrom, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh semasa kejadian sebagai Pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn. Bhd. telah menerima suapan berjumlah RM270,000 melalui empat transaksi cek RHB Bank Berhad daripada seorang pengarah syarikat Malim Resources.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad cawangan Kelana Jaya dan Maybank Berhad cawangan TTDI Jaya di sini secara berperingkat pada bulan Mei, Jun, Ogos dan Oktober tahun 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman memohon wang ikat jamin berjumlah RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasport ditahan mahkamah.

Bagaimanapun, Peguam A. G. Kalidas yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

“Saya juga memohon supaya pasport anak guam tidak ditahan berikutan keperluannya untuk ke luar negara setiap minggu bagi urusan kerja perniagaan yang diusahakan sendiri.

“Anak guam saya juga tidak mempunyai sebarang risiko melarikan diri kerana kerap menghadirkan diri setiap kali dipanggil untuk membantu siasatan oleh SPRM sejak 2012,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh ditahan pihaknya dan boleh dipohon sekiranya tertuduh memerlukan bagi urusan kerja perniagaannya.

Tarikh sebutan semula kes pada 6 Disember depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN