JOHOR BAHRU 11 Nov. – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kedua-duanya ditikam menggunakan pisau oleh sekumpulan lelaki dipercayai kumpulan kongsi gelap, dalam kejadian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuong 1, Skudai, di sini hari ini.
Video oleh RAJA JAAFAR ALI
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, kejadian berlaku pukul 12.30 tengah hari ketika kedua-dua mangsa dan tiga lagi rakannya menghadiri program karnival jualan amal yang sedang berlangsung dalam kawasan sekolah.
Beliau berkata, mangsa yang mati berusia 21 tahun meninggal dunia di luar pekarangan sekolah selepas ditikam di dada kanan manakala mangsa yang cedera berusia 15 tahun cedera ditikam di lengan kanan.
“Kedua-dua mangsa bersama-sama lima rakan mereka dikatakan datang ke sekolah berkenaan untuk menghadiri karnival amal yang terbuka kepada orang awam sebelum didatangi dan diserang sekumpulan lelaki disyaki daripada kumpulan kongsi gelap.
“Polis yang pantas tiba ke sekolah berkenaan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berjaya memberkas 12 suspek berusia antara 15 hingga 21 tahun dan sedang memburu beberapa lagi rakan suspek. Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap,” katanya ditemui di lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE










