LONDON – Sebastian Vettel menegaskan bahawa kegagalan pada musim ini bukanlah yang terbesar dalam kariernya memandangkan kekalahan pada tahun 2009 lebih meninggalkan kesan.
Biarpun terpaksa akur di tempat kedua kategori pemandu buat kali ketiga dalam sejarah kariernya, pelumba Jerman itu mengakui perjuangannya bersama Ferrari masih belum berakhir.
Menurutnya, kekalahan pada tahun 2009 yang menyaksikan beliau tewas kepada pelumba Brawn GP, Jenson Button merupakan sejarah paling pahit dalam kariernya berbanding tahun ini.
“Saya sudah berada di kedudukan kedua kategori pemandu sebanyak tiga kali iaitu 2017, 2009 dan tahun ini, namun paling pedih adalah pada tahun 2009.
“Ketika itu, saya tidak pasti tentang masa depan saya terutama sama ada saya akan dapat peluang sekali lagi atau tidak. Saya telah berusaha dengan kuat dan yakin peluang akan datang.
“Pada masa itu, setiap saat adalah sangat sukar sebab saya tidak mampu meramal masa depan.
“Walaupun kekalahan saya di Mexico baru-baru merupakan satu lagi tamparan hebat namun masih yakin gelaran kelima mampu diraih bersama Ferrari,” katanya. – Agensi











