SAO PAULO – Sebastian Vettel dikenakan hukuman denda €25,000 (RM118,590) akibat tindakannya melanggar arahan pegawai perlumbaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk memberhentikan jentera bagi pemeriksaan berat jentera pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Brazil kelmarin.
Ketika itu, Vettel dilihat memasuki hentian pit untuk menukar tayar pada sesi kelayakan kedua (Q2) selepas bimbang hujan akan turun pada sesi tersebut.
Vettel yang dilihat dalam keadaan tergesa-gesa telah melanggar kon pada mesin alat penimbang jentera sambil melambaikan tangannya pada FIA untuk meminta mempercepatkan proses pemeriksaan itu hingga menyebabkan pegawai teknikal, Jo Bauer berang dengan tindakan pelumba Ferrari itu.
Bagaimanapun, Vettel mengakui sepatutnya pegawai perlumbaan tidak perlu melakukan pemeriksaan terhadap jenteranya memandangkan keadaan cuaca ketika itu dijangka hujan.
“Mereka sepatutnya tidak memanggil kami untuk melakukan pemeriksaan. Jika keadaan cuaca bertukar kepada hujan, saya rasa ia tidak adil untuk memaksa seseorang untuk melakukan pemeriksaan.
“Ketika itu saya hanya mahu mereka bergegas melakukan pemeriksaan kerana sesi Q2 sudah bermula dan saya mahu menukar tayar yang lebih baik. Buat masa ini saya tidak mahu mengulas panjang tetapi memahami apa yang berlaku ketika itu,” kata Vettel
Dalam pada itu, FIA mengeluarkan kenyataan bahawa Vettel tidak dikenakan sebarang hukuman penalti grid dan hanya dikenakan denda €25,000 atas kesalahan tidak mengendahkan arahan pegawai perlumbaan. – Agensi











