BUAT julung kalinya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan program berkonsepkan pengetahuan merentasi bidang yang pertama di Malaysia. Ia dikenali sebagai Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Am (ISMPA) UTM. Ia ditawarkan khusus kepada pelajar lepasan Program Asasi, Matrikulasi dan graduan lepasan Diploma. Tujuan mewujudkan program ini adalah antara usaha UTM untuk melahirkan graduan yang berinovatif dan kompeten dalam kerjaya.
Program ISMPA UTM menerapkan konsep pembelajaran merentasi bidang ini yang telah lama bertapak di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Hong Kong, Australia dan Singapura. Kini UTM menjadi pelopor bagi program baharu sebegini di Malaysia.
Melalui program ini, pelajar mempunyai pilihan untuk menggabungkan beberapa bidang, berdasarkan kepada minat dan pembangunan kerjaya yang akan diceburi kelak.
Konsep dinamik ini, mampu menjadikan seseorang pelajar ke arah lebih berdaya saing dan kebolehsuaian yang tinggi terhadap perubahan dan trend teknologi terkini serta lebih progresif melalui penyesuaian sendiri terhadap pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan.
Program ISMPA UTM ini juga seiring dengan perubahan waktu dan mengikut trend teknologi semasa termasuk Revolusi Industri Ke-4 (IR 4.0), data raya, dan ekonomi digital. Fluid and organic curriculum merupakan salah satu elemen yang diterapkan di dalam ekosistem Higher Education 4.0 yang menekankan kepada pengetahuan, industri dan kemanusiaan. Maka kurikulum ini sememangnya sejajar dengan saranan pembentukan semula pengajian tinggi (redesigning higher education) yang mampu menjadikan sistem pendidikan sebagai sesuatu yang kekal relevan dan mampu bersaing di era Revolusi Industri Ke-4 (IR 4.0).
Pelajar akan mengikuti pengajian secara sepenuh masa di kampus induk UTM di Johor Bahru. Mod pengajian adalah melalui kerja kursus dengan tempoh pengajian sepenuh masa selama empat tahun.
Pelaksanaan program ISMPA UTM ini telah mengambil kira konsep organic curriculum di mana pelajar bebas mengambil kursus yang bersesuaian dengan keperluan kontemporari bidang yang dipilih.
Kursus-kursus ini adalah merentasi bidang yang merangkumi pengurusan, sains, pengkomputeran, teknologi dan kemanusiaan bagi memenuhi keperluan kerjaya dan melanjutkan pelajaran.
Kemungkinan ada di antara pelajar yang keliru dengan kursus yang dipilih sama ada ia bersesuaian dengan kehendak industri atau sebaliknya. Jadi, Penasihat Akademik akan memberikan khidmat nasihat dan panduan terperinci kepada mereka.
Memandangkan pelajar tidak mempunyai pengalaman dalam kerjaya, maka bimbingan perlu diberi, seiring dengan keperluan agar mereka berada di dalam landasan yang betul.
Seiringan dengan keperluan semasa, program ini dilaksanakan berdasarkan Model Inovasi Pembelajaran (NALI) yang berorientasikan pelajar dan pendekatan pembelajaran teradun (blended learning). Ia merangkumi pengajaran bersepadu, antaranya berasaskan kajian permasalahan senario, kajian kes yang diadun melalui campuran pendekatan pembelajaran mod dalam talian dan mod pembelajaran secara bersemuka.
Pembentukan sahsiah dan keperibadian yang terpuji akan diterapkan selama graduan masih di dalam tempoh pengajian. Sikap proaktif terhadap situasi, pemikiran inovatif dan memiliki pemikiran secara kritis diterapkan dalam pembelajaran sejajar dengan kehendak silibus pengajian yang disediakan.
Pendekatan sebegini juga diperlukan supaya pelajar dapat membina pengetahuan mereka sendiri melalui pengalaman dan bantuan teknologi secara bermakna. Kelebihan ini memberi nilai tambah dan daya saing yang diperlukan oleh majikan dan industri.
UTM menyediakan prasarana yang lengkap dan terkini untuk kegunaan pelajar bagi mencapai objektif pengajian. Pelajar akan menggunakan sistem e-pembelajaran untuk pengukuhan kefahaman dalam setiap mata pelajaran.










