PULAU PINANG 13 Nov. – Kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengkaji semula keperluan memperbanyakkan laluan pejalan kaki yang mengutamakan manusia berbanding pembangunan jalan raya yang mengutamakan kenderaan di negeri ini.

Heng Lee Lee (DAP-Berapit) berkata, dalam hal ini, pembinaan laluan untuk pejalan kaki perlu diberi keutamaan dan ia sepatutnya boleh disambung terus ke kawasan kediaman utama atau pusat perniagaan terdekat bagi memudahkan para pejalan kaki.
Katanya, sebagai langkah keselamatan, laluan itu juga harus disambung dengan tegak tanpa sebarang halangan selain memenuhi standard yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya dua orang pejalan kaki pada satu-satu masa.
“Pelan jalan raya yang mengutamakan pejalan kaki juga harus meletakkan penambahan lampu isyarat yang dilengkapi penentu waktu sebagai kemudahan pejalan kaki untuk melintas jalan.
“Dengan membina suasana yang ‘mesra pejalan kaki’ seperti ini, saya percaya barulah masyarakat boleh memupuk sikap saling hormat-menghormati antara pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sesi perbahasan sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam pada itu, Lee Lee juga mengusulkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian insentif kepada rakyat negeri ini yang mengambil inisiatif sendiri untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, langkah tersebut bagi membantu memaksimakan pemasangan alat terbabit di Pulau Pinang memandangkan keadaan kewangan kerajaan ketika ini adalah terhad.
“Antara insentif itu ialah, kerajaan negeri mungkin boleh memberikan diskaun cukai pintu kepada penduduk dan pemilik kedai yang memasang CCTV yang memenuhi kriteria ditetapkan seperti berkualiti.
“Selain itu, mereka yang memasang peralatan tersebut mengikut sudut yang ditetapkan serta bersedia untuk bekerjasama dengan polis jika diperlukan juga perlu dipertimbangkan untuk tujuan itu,” ujar beliau.
Ketika ini, sebanyak 917 unit CCTV telah dipasang di bahagian pulau termasuk 150 CCTV baharu manakala di Seberang Perai pula, 30 lagi CCTV baharu dipasang menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sana ialah sebanyak 160 unit. – UTUSAN ONLINE










