Usahawan pasar tani perlu jaga aspek kebersihan atau berdepan tindakan - Utusan Malaysia

Usahawan pasar tani perlu jaga aspek kebersihan atau berdepan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi amaran kepada usahawan pasar tani supaya menjaga aspek kebersihan atau mereka bakal berdepan tindakan terkeluar dari senarai peserta.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, setiap gerai usahawan akan diberi penarafan mengikut tahap kebersihan yang terdiri daripada kategori A (sangat bersih), B (bersih), C (kurang bersih) dan D (kotor).

“Penarafan ini sebenarnya diberikan sebagai galakan kepada mereka (peserta pasar tani) supaya mementingkan aspek kebersihan.

“Kebanyakan usahawan pasar sebanyak 400 di sini (Pasar Tani Putrajaya) menunjukkan tahap kebersihan memuaskan dan nampaknya tiada yang mendapat skor D,  jika ada (skor D) mereka bakal terkeluar daripada senarai peserta pasar tani” katanya pada sidang akhbar di Pasar Tani Presint 2, Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Pasar Tani Bersih Peringkat Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur & Putrajaya).

Menurut Ishak, bagi memastikan peningkatan prestasi, pemantauan taraf kebersihan setiap gerai dibuat oleh Urusetia Pasar Tani yang sangat komited pada setiap bulan.

“Kita akan pastikan kempen ini diperluaskan di seluruh negara, kalau berterusan FAMA yakin impak program ini akan memberi kesan positif terhadap imej pasar tani.

“Ini sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap aspek kebersihan dan keselamatan  produk agro makanan yang dijual di pasar tani,” katanya.

Tambah beliau, setakat tahun 2017 terdapat sebanyak 712 buah pasar tani di seluruh dengan bilangan peserta 30,324 orang.

“Pada tahun lalu kita berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM861 juta dan pada tahun 2018 kita menyasarkan pembukaan sebanyak 60 buah pasar tani baharu.

“Pencapaian pasar tani sehingga September 2018 ada 737 buah dengan nilai jualan RM632 juta,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN