KUALA LUMPUR – Kemeriahan sambutan Deepavali dirasai di seluruh negara apabila penganut agama Hindu mengambil peluang keluar sejak awal pagi lagi bagi menyempurnakan upacara keagamaan di kuil di kawasan masing-masing.
Di ibu negara, masyarakat India bersama anggota keluarga masing-masing pada awal pagi mengunjungi kuil di kawasan masing-masing untuk upacara sembahyang.
Antara kuil utama yang menjadi tumpuan adalah Kuil Sri Mahamariamman di Jalan Tun H S Lee, yang dipenuhi ramai penganut Hindu seawal pukul 7 pagi.
Selepas melakukan ritual keagamaan, mereka berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai untuk meraikan Pesta Cahaya yang turut disertai masyarakat pelbagai kaum menikmati juadah istimewa perayaan itu.
Selain menghadiri rumah terbuka Deepavali, orang ramai turut mengambil peluang cuti umum itu beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.
Tinjauan Bernama di sekitar Little India, Brickfields dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mendapati kawasan berkenaan sedikit lenggang dan banyak kedai perniagaan ditutup.
Di Klang, Selangor, Kuil Sri Nagara Thandayuthapani menjadi tumpuan penganut agama Hindu di sekitar daerah ini untuk bersembahyang bersama ahli keluarga mereka.
Tinjauan Bernama di kuil berusia lebih 120 tahun itu yang terletak berhampiran Jalan Tengku Kelana atau “Little India” di sini mendapati penganut Hindu mula hadir ke kuil berkenaan sejak pukul 9 pagi.
Di Melaka, penganut agama Hindu memenuhi kuil-kuil di negeri ini sejak pukul 8 pagi untuk menyempurnakan upacara keagamaan sempena sambutan Deepavali.
Selain penganut agama Hindu, pelancong asing turut berkunjung ke kuil-kuil seperti Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi di Jalan Tokong, antara kuil tertua di Melaka dibuka pada 1781 bagi melihat serta merasai sendiri sambutan perayaan itu dan menikmati keindahan kuil yang mempunyai pengaruh seni bina Belanda itu.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam kenyataan sempena sambutan Deepavali hari ini berharap perayaan Diwali pada tahun ini penuh bermakna dan disambut dengan meriah bersama keluarga tercinta serta sahabat handai.
Di Kota Bharu, Kelantan sambutan Depavali tetap disambut meriah walaupun musim tengkujuh telah bermula dengan lebih 100 orang masyarakat India sekitar Tanah Merah menyempurnakan sembahyang di Kuil Kerilla Karumman pagi ini.
Presiden Persatuan Fizikal dan Budaya India Kelantan, Gandhiraja Perumal berkata, cuaca hujan tidak menghalang penganut Hindu membuat persiapan menyambut Deepavali di kediaman masing-masing sejak beberapa hari lepas. – Bernama










