MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Juan Mata mengakui pasukannya cukup yakin untuk mengharungi minggu sukar bertemu Juventus dan Manchester City.
United bakal bertemu bekas pemainnya, Cristiano Ronaldo dan Juventus di Turin pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini sebelum berkunjung ke Etihad untuk derbi Manchester menentang City pada Ahad ini.
Mengulas lanjut, Mata menegaskan United kini sudah bersedia dengan cabaran itu selepas me-raih dua kemenangan berturut-turut ke atas Everton dan Bournemouth.
“Kemenangan 2-1 (ke atas Everton dan Bournemouth) telah memberikan keyakinan kepada kami untuk mengharungi minggu sukar pada musim ini.
“Berkunjung ke Juventus dan City dalam tempoh empat hari adalah cabaran yang bukan mudah buat kami.
“Bagaimanapun, kami telah bersedia menghadapi setiap rintangan sukar ini dan tidak mahu memikirkan tentang jadual tersebut sebaliknya United akan turun dengan penuh keyakinan.
“Juventus dan City adalah pasukan terkuat di Eropah dan sudah pasti ia bukan satu tugas yang mudah tetapi kami juga pasukan elit dan sudah pasti United mahu kemenangan,” ujarnya. – Agensi










