TURIN – Pengendali Manchester United, Jose Mourinho menyifatkan kemenangan ke atas Juventus adalah kegembiraan paling hebat dan menafikan ia adalah misi membalas dendam lama sewaktu beliau mengendalikan Inter Milan sebelum ini.
Pada aksi tersebut, Manchester United berjaya ‘mengunci’ mulut para penyokong The Bianconeri serta pengkritik selepas mencetak kemenangan 2-1 menewaskan Juventus di laman sendiri pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Bekas bintang United, Cristiano Ronaldo berjaya meletakkan Juventus di depan pada minit ke-64, namun keputusan itu tidak bertahan lama apabila Juan Mata meledak gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-86.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, United berjaya meraikan gol kemenangan pada minit ke-90 selepas pemain pertahanan Juventus, Alex Sandro tertampan bola ke gawang sendiri.
“Apabila saya memulakan tugas mengendalikan Manchester United, saya perlu melupakan perkara yang lalu dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada setiap perlawanan. Mereka (Juventus) merupakan pasukan yang hebat, malah mempunyai pemain yang hebat seperti Ronaldo.
“Saya sering katakan kepada pemain bahawa mereka akan berdepan tugas berat dan perlu mempamerkan aksi yang meyakinkan. Hasilnya mereka berjaya melakukannya dengan baik terutama di tempat lawan.
“Kami berada dalam kumpulan yang sukar dan sudah pasti ia adalah cabaran yang perlu kami tempuhi satu demi satu perlawanan. Saya akui kami telah melakukan yang terbaik,” kata Mourinho.
Juventus kini di kedudukan teratas Kumpulan H selepas mengumpul sembilan mata, dua mata di atas United di kedudukan kedua. – Agensi










