KRAKOW (Poland) 19 Nov. – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dijangka memperoleh geran penyelidikan bernilai kira-kira RM3 juta sepanjang tahun ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sehingga suku ketiga tahun ini, universiti tersebut sudah menerima geran penyelidikan bernilai lebih RM2.3 juta.
“Sejak Januari hingga September lalu, Unimap mendapat 26 geran berkaitan bernilai lebih RM2.3 juta. Kedua-dua angka itu dijangka meningkat sebelum 31 Disember ini.
“Sepanjang tahun lalu pula, Unimap mendapat 61 geran penyelidikan dengan nilai hampir RM5.4 juta,” titah baginda selaku Canselor Unimap.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita semasa berangkat menyertai Majlis Makan Malam Jagiellonian University di sini malam tadi.
Keberangkatan baginda disambut oleh Wakil Rektor Bagi Pengantarabangsaan Jagiellonian University, Adam W. Jelonek dan Profesor Boguslaw Pacek dari Institut Bagi Timur Tengah dan Timur Jauh.
Turut mengiringi baginda ialah Naib Canselor Unimap, Profesor Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Mohd. Fo’ad Sakdan.
Baginda yang mengetuai delegasi Unimap sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Krakow untuk lawatan kerja selama empat hari disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Poland, Chitra Devi Ramiah.











