ARAU 3 Nov. – UMNO kesal dengan pembentangan Belanjawan 2019 semalam yang langsung tidak memberi fokus kepada rakyat di kawasan luar bandar iaitu golongan yang sepatutnya diberikan lebih tumpuan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, belanjawan semalam dilihat lebih fokus kepada masyarakat bandar sekali gus mengenepikan golongan seperti petani, pesawah dan penoreh di kampung.
Selain itu katanya, intipati keseluruhan belanjawan tersebut juga kebanyakkannya sudah dilaksanakan kerajaan terdahulu, malah lebih baik.
“Dalam belanjawan semalam langsung tidak menyebut peruntukan untuk pesawah, petani, peladang dan nelayan. Mereka juga mempunyai hak untuk diberikan tumpuan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri.
Tambah Ahmad Zahid, sepatutnya belanjawan yang dikemukakan itu merangkumi perancangan baharu dan bukan sekadar menukar nama apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dahulu.
Sementara itu, beliau berkata, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin akan mewakili gabungan pembangkang membentangkan inisiatif-inisiatif yang sepatutnya diberi fokus kepada rakyat pada sidang Dewan Rakyat nanti.
Selain itu, Ahmad Zahid memberitahu, pihaknya juga akan membawa rasa ketidakpuasan hati rakyat di Parlimen terhadap belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan itu.
“Pada pembentangan itu, Khairy akan menyentuh dan memperincikan bantuan sepatutnya kepada rakyat daripada setiap sudut dalam memastikan semua golongan memperolehi manfaat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










