UMNO Kedah bantah ratifikasi ICERD - Utusan Malaysia

UMNO Kedah bantah ratifikasi ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 13 Nov. – Badan Perhubungan UMNO negeri membantah sekeras-kerasnya usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasikan resolusi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

JAMIL KHIR BAHAROM
JAMIL KHIR BAHAROM 

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendirian tersebut berasaskan kepada ICERD yang tidak pernah ditandatangani oleh Kerajaan BN kerana ia jelas bertentangan dengan Perkara 153.

Menurutnya, ratifikasi tersebut mengakibatkan penghapusan pelbagai institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), tanah simpanan Melayu, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta biasiswa untuk Bumiputera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Meratifikasi ICERD memerlukan pindaan perlembagaan dan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Selepas diluluskan, tidak ada sebarang kuasa yang mampu mengatasi perlembagaan yang termaktub, termasuk Perdana Menteri, ekoran kedudukannya yang juga merupakan sumber perundangan tertinggi negara.

“Justeru, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan agenda liberalisasi perlembagaan negara yang sedang diusahakan Kerajaan PH ini dan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam berbangsa Melayu untuk bangkit membantah ratifikasi ICERD,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, gesaan tersebut adalah sejajar dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang memberi amaran supaya tidak diusik kedaulatan institusi Diraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam negara.

“Pembentukan Perlembagaan Persekutuan mengandungi empat unsur tradisi bangsa Melayu itu yang turut menyebut tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang sama sekali tidak boleh diubah atau dipersoalkan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×