JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak dipandang serius dan ditangani.
Menurut catatan yang dimuat naik dalam laman Facebook HRH Crown Prince of Johor hari ini, Tunku Ismail bertitah, penderaan seksual terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
“Membaca berita mengenai bayi berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai telah dirogol, diliwat dan didera adalah sangat menyakitkan hati dan mengganggu perasaan.
“Penderaan seksual kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan. Ia adalah perkara yang serius yang perlu ditangani kerana ia tidak boleh diterima oleh pelbagai peringkat, termasuk agama,” titah baginda menerusi catatan berkenaan.
Tunku Ismail bertitah, baginda dan isteri Che Puan Khaleeda Bustaman yang juga merupakan pasangan ibu bapa amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dari semua peringkat umur. – Bernama










